Wanita masa kini perlu membahagikan masa menguruskan kerjaya, rumah tangga dan keluarga. Foto SELANGORKINI
SELANGOR

Halimey komited tingkat martabat wanita

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil DUN Seri Setia, Halimey Abu Bakar sudah merangka program bagi memberdaya wanita jika dipilih selaku Ahli Dewan Negeri di kawasan itu, pada 8 September ini.

Katanya, program itu membabitkan kerjasama beberapa agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan bagi meningkatkan taraf kehidupan dan ekonomi mereka supaya bersama merasai peluang disediakan.

“Ia membabitkan program melatih dalam pembuatan makanan sejuk beku, jahitan, urutan tradisional dan SPA kecantikan dengan kerjasama antaranya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, EXCO Wanita Selangor dan KEMAS.

“Tidak dilupakan golongan ibu tunggal yang akan dibantu supaya mereka dapat membina hidup baru.
Kita juga akan terus berkerjasama dengan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara dalam meneruskan agenda ini serta memperbanyakkan program keibubapaan juga kaunseling keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media, di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia, hari ini.

Halimey berkata, kewujudan Penggerak Wanita Berdaya dan Institut Wanita Berdaya di peringkat Selangor membantu merangka polisi serta strategi bagi pemerkasaan pembangunan wanita secara holistik.

Pada masa sama, katanya, PAKATAN komited menghargai sumbangan wanita dan ia terbukti apabila sekurang-kurangnya 30 peratus golongan itu terbabit dalam membuat keputusan, sama ada di peringkat induk mahupun akar umbi.

“Ada di antara mereka dilantik sebagai EXCO negeri, Yang DiPertua Majlis Perbandaran, Pegawai Daerah, mahupun sebagai Pengarah Bahagian dan Peneraju di dalam Syarikat Berkepentingan Kerajaan (GLC).

“Tidak lupa, wanita pertama pegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah wanita yang mempunyai semangat juang tinggi, berjiwa kental dan berani.

“Di peringkat DUN Seri Setia pula, saya memberi jaminan apa yang baik yang dilakukan Kerajaan Negeri ini akan disalur dan dipraktikkan demi membantu golongan wanita di sini,” katanya.

 


Pengarang :