SELANGOR

Halimey mahu bela nasib penduduk Pangsapuri di DUN Seri Setia

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 17 OGOS: Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) N.32 Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar akan memberikan tumpuan untuk menaik taraf keadaan pangsapuri khususnya di Lembah Subang jika pilih sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN) pada 8 September hadapan.

Dengan pengalaman selaku Ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 24 sejak 2008, beliau yakin ia akan memberikan kelebihan kepadanya untuk menang dan meneruskan kerjasama dengan Ahli Majlis baharu.

“Antara yang ingin saya tambah baik adalah di kawasan Lembah Subang. Ini kawasan PPR.

“Kita akan bincang dengan KPKT yang kebetulan kini di bawah pimpinan Pakatan Harapan. Kita juga akan menambah baik di kawasan lain khususnya yang mempunyai pangsapuri termasuk di Desa Mentari,” katanya.

Beliau yang ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon PRK N.32 DUN Seri Setia di Padang Permainan Blok 4,!5 dan 6 Desa Mentari mensasarkan lebih 70 peratus pengundi akan keluar.

Dalam ucapannya Halimey turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PAKATAN kerana memberikan kepercayaan kepadanya untuk meneruskan kecemerlangan Selangor di DUN Seri Setia.

PRK DUN Seri Setia diadakan selepas penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, meninggal dunia di Hospital Putrajaya, awal bulan ini akibat barah usus yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Allahyarham Shaharuddin menang kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372 undi, menewaskan calon BN, Yusoff M Haniff; calon PAS, Mohd Ghazali Daud dan calon Bebas, S Vigneswaran.


Pengarang :