SELANGOR

Hands Of Hopes UNISEL santuni pelatih Baitul Ehsan

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 12 OGOS: Seramai 38 pelajar dan pensyarah dari Universiti Selangor (UNISEL) menganjurkan program ‘hands Of Hopes’ di Rumah Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, di sini.

Pensyarah Pusat Pengajian Asasi dan Umum UNISEL Bestari Jaya, Hasliza Mohamad Ali berkata, program terbabit berkonsepkan membantu pelatih untuk membangunkan bakat sedia ada dari segi aspek jati diri, sahsiah, kepimpinan dan kecemerlangan akademik.

Katanya, ia juga bertujuan mengeratkan hubungan pelatih dan pelajar UNISEL selain memperkenalkan situasi diluar.

“Ini merupakan tugasan akhir bagi pelajar Diploma Pengajian Awal Kanak-Kanak.

“Ia juga antara lain dapat mengeratkan hubungan antara mahasiswa dengan pelatih selain menjadi salah satu saluran sosial untuk membina serta mendorong para peserta menyemai semangat kekitaan, jati diri dan keprihatinan antara satu sama lain.

“Setiap pelatih di sini mempunyai latar belakang berbeza, jadi program sebegini dapat memberikan keseimbangan antara mereka dalam memahami kehidupan masyarakat setempat yang lain,” katanya.

Sementara itu, Kaunselor Baitul Ehsan Noor Huda Tajudin berkata, pihaknya mengalukan sokongan dan keprihatinan pihak atau masyarakat bagi membimbing kira-kira 60 pelatih di rumah itu.

Katanya, hal itu kerana pelatih memerlukan semangat dan jati diri yang kuat selepas terbabit dengan pelbagai masalah sosial sebelum ini.

“Mereka perlu meneruskan hidup dengan baik. Oleh itu, mereka sangat memerlukan sokongan dan bimbingan dari pihak luar.

“Kita sentiasa mengalukan aktiviti seperti ini, saya percaya pelatih juga gembira dengan kehadiran pelajar-pelajar ini,” katanya.

Antara aktiviti yang diadakan ialah gotong-royong, senamrobik dan ice breaking.

Setakat kini, Baitul Ehsan didiami seramai 60 orang pelatih termasuk lima orang bayi yang terdiri daripada kes gejala sosial dan penceraian atau keganasan rumah tangga.

Pusat itu boleh menempatkan kira-kira 100 pelatih dalam satu masa. Rata-rata pelatih terdiri daripada sukarela atau menjalani perintah mahkamah.

Beroperasi di atas kawasan seluas enam ekar di daerah Sabak Bernam, Baitul Ehsan sebelum ini adalah bekas tapak Pusat Dakwah Selangor.

Baitul Ehsan mengamalkan konsep yang membawa kepada aspek kerohanian, selain fardhu ain, pengajian Al-Quran dan kemahiran memasak, kraf tangan dan menjahit.

 


Pengarang :