SELANGOR

Hapuskan tempat pembiakan aedes bermula dari dalam rumah

OLEH NADIAH ZAMLUS

SUBANG JAYA, 8 OGOS: Musnahkan tempat pembiakan nyamuk aedes dengan segera bermula dari dalam rumah, kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Michelle Ng.

Katanya, ia kerana kaedah penyemburan asap nyamuk bukanlah kaedah terbaik untuk mengelakkan kes demam denggi daripada terus meningkat.

“Dinasihatkan supaya penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya memeriksa kesemua perkakas dalam rumah termasuk bekas bunga dan juga bekas-bekas lama yang terbiar dalam stor.

“Sebenarnya cara paling berkesan untuk hapuskan denggi ialah memusnahkan, bukannya sekadar mengharapkan pihak berwajib membuat sempuran asap nyamuk, asap tersebut tidak dapat membunuh telur nyamuk berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Gotong Royong bersama Rukun Tetangga SS 15/6 yang turut disertai 50 penduduk.

Michelle berkata, sejak awal tahun hingga kini, terdapat tujuh kes demam denggi dilaporkan bagi kawasan SS15/6 dan SS15/6a.

“Program gotong-royong seperti ini tidak sepatutnya dipandang ringan oleh penduduk memandangkan ia adalah salah satu cara untuk menurunkan kes demam denggi,” katanya.


Pengarang :