NASIONAL

Harga kereta tidak naik selepas pelaksanaan SST

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Pasaran kenderaan dijangka tidak mengalami kenaikan apabila Cukai Perkhidmatan dan Jualan (SST) dilaksanakan, pada 1 September ini.

Pengarah Eksekutif Go Auto Group, Datuk SM Azli SM Nasimuddin Kamal berkata, sebaliknya harga kenderaan pasaran tempatan akan kembali seperti ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sebelum ini.

“Apabila SST dilaksanakan nanti, harga kenderaan bukan naik tetapi kembali kepada harga asal sama seperti sebelum GST dimansuhkan.

“Cuma pada masa sekarang, pembeli kenderaan sedang menikmati harga lebih rendah sepanjang tempoh ‘tax holiday’ dengan GST dimansuhkan dan SST pula belum dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Menandatangani Memorandum Persefahaman antara SIRIM dan Go Automobile Manafacturing Sdn Bhd, di Bangunan SIRIM, di sini, hari ini.

SM Azli berkata, beliau menjangkakan pengedar kenderaan akan memberi pelbagai tawaran menarik seperti rebat bagi menarik minat pembeli.

“Pengedar kenderaan akan bersaing secara sihat untuk industri automobil negara,” katanya.


Pengarang :