Hari Kebangsaan 2018: Medan penyatuan untuk zahirkan ‘Sayangi Malaysiaku’ | Selangorkini


About the contributor

Norway

Pengarang

Mohd Ezli Mashut

Hari Kebangsaan 2018: Medan penyatuan untuk zahirkan ‘Sayangi Malaysiaku’

PUTRAJAYA 31 OGOS: Hari Kebangsaan 2018 yang disambut pada Jumaat menjadi medan penyatuan rakyat Malaysia dalam menzahirkan semangat patriotisme dan kepentingan perpaduan demi kesejahteraan negara.

Hari Kebangsaan 2018 yang tiba di kemuncaknya dengan acara perbarisan dan perarakan di Putrajaya hari ini, menampilkan empat komponen yang senada dengan tema sambutan “Sayangi Malaysiaku” iaitu kenegaraan; ketenteraman awam; keselamatan negara dan rakyat bersepadu.

Sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Dataran Putrajaya, majlis yang disaksikan jutaan rakyat melalui kehadiran di lokasi serta tontonan siaran langsung di kaca televisyen dan laman media sosial, dimulakan dengan nyanyian lagu keramat Negaraku dan disusuli bacaan ikrar Rukun Negara.


Deruan helikopter di ruang udara Putrajaya kedengaran apabila lima buah helikopter iaitu dua EC 725 AP dan sebuah Sikorsky S61A-4 Nuri, masing-masing milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), sebuah Augusta 109 milik Tentera Darat Malaysia (TDM) dan sebuah Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat lintas hormat kepada Seri Paduka.

Tembakan kehormatan 14 das, simbolik kepada 14 negeri di Malaysia, yang dilaksanakan 41 Bateri Istiadat Rejimen Artileri Diraja, mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang ketika nyanyian lagu Negaraku diperdengarkan.

Turut hadir menyaksikan acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan 2018 itu ialah Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, menteri-menteri kabinet termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo serta perwakilan asing.

Sambutan kali ini mencatat sejarah kerana ia signifikan bagi meraikan pemerintahan kerajaan Persekutuan, yang kini diterajui Pakatan Harapan, dan tonggak pemerintahan baharu itu dipimpin Dr Mahathir yang kembali menerajui kerajaan pada usia 93 tahun.

Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi sambutan Hari Kebangsaan 2018, selepas 13 tahun pernah menjadi tuan rumah, juga istimewa kerana Dr Mahathir merupakan insan yang mengilhamkan pembangunan kawasan itu, yang sebelum ini dikenali sebagai Prang Besar, menjadi pusat pentadbiran negara pada 1995.

Kali terakhir acara perbarisan dan perarakan Hari Kebangsaan diadakan di Putrajaya ialah pada 2005.

Pengunjung yang dianggarkan seramai 300,000 orang mula membanjiri Dataran Putrajaya seawal 5 pagi dengan memeriahkan suasana dengan membawa Jalur Gemilang sendiri untuk menyaksikan acara perbarisan dan perarakan hari kebangsaan itu.

SUMBER: BERNAMA

 

Media Selangor Mobile App

Membawakan kepada anda berita terkini daripada Selangorkini, aplikasi mudah alih Media Selangor membekalkan kepada anda sumber yang dipercayai untuk liputan berita yang pantas di mana sahaja dan pada bila bila masa


Smiley face Smiley face


Kongsikan ini :

BERITA BERKAITAN

Prev
Next