NASIONAL

Hari Kebangsaan 2018: Penampilan ‘Jalur Gemilang’ curi tumpuan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan 2018 di Dataran Putrajaya, di sini, hari ini, bukan sahaja terletak pada penyertaan pelbagai lapisan masyarakat, bahkan penampilan berkonsepkan bendera ‘Jalur Gemilang’ turut mencuri tumpuan umum.

Tinjauan SelangorKini mendapati, hampir sebilangan pengunjung tampil segak dan anggun sepanjang acara berlangsung dengan menggayakan pakaian yang memiliki sentuhan elemen ‘Jalur Gemilang’.

Salah seorang pengunjung ketika ditemui, A. Devamalar, 46, berkata, perancangan untuk mengenakan pakaian sari yang mempunyai imej jalur gemilang itu sudah lama dibuat bagi meraikan sambutan Hari Kebangsaan ke-61.

Beliau yang tiba seawal jam 5.30 pagi berkata, dengan hanya bermodalkan RM250, beliau mampu mendapat set lengkap pakaian itu yang ditempah khas daripada tukang jahit.

“Ini kali pertama saya memakai sari yang melambangkan corak bendera rasmi Malaysia dan istimewanya, saya sendiri mengilhamkan rekaan fesyen ini dengan menggunakan lapan bendera untuk setiap lapan meter.

“Sudah pasti ramai yang akan memakai pakaian bertemakan jalur gemilang sempena menyambut Hari Kebangsaan kali ini, jadi saya juga mahu membuktikan semangat cintakan negara melalui penampilan seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nashrol Hasnil, 27, mendapat perhatian umum apabila mengenakan pakaian tradisional suku kaum Iban di Sarawak, disertai corak jalur gemilang.

Beliau antara 10 peserta masing-masing lima lelaki dan lima perempuan yang terpilih untuk memperagakan pakaian itu.

“Pemakaian ini adalah simbolik kepada lima suku kaum terdapat di Malaysia iaitu Melayu, Cina, India, Sabah dan Sarawak.

“Pada masa sama, penganjuran acara seperti ini akan memberi peluang kepada kami untuk mengangkat dan memartabatkan pakaian tradisional kaum Iban,” katanya.


Pengarang :