NASIONAL

Hari Kebangsaan 2018: Rakyat sambut baik ‘Sayangi Malaysiaku’

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PUTRAJAYA, 31 OGOS: Sambutan Hari Kebangsaan 2018 pastinya saat dinantikan semua, seiring dengan semangat Malaysia Baharu yang sedang hangat dirasai seluruh rakyat di negara ini.

Pemilihan lokasi penganjuran di Pusat Pentadbiran Kerajaan kini pula, nyata mendapat reaksi positif daripada rakyat apabila majoritinya menyambut baik sambutan penuh bersejarah kepada kerajaan itu.

Hal itu diakui pendidik, Mohd Fadzili Fisol, 37, apabila beliau berpeluang membawa seramai 100 pelajar dari daerah Kulim, Kedah bersama 20 guru pengiring untuk bersama merasai kemeriahan sambutannya di Dataran Putrajaya, hari ini.

Katanya, sambutan Hari Kebangsaan ke-61 pada tahun ini digambarkan sungguh meriah dan menampilkan kelainan berbanding penganjuran tahun sebelumnya.

“Anak-anak didik saya kelihatan begitu teruja dapat menghadiri sambutan kali ini kerana mereka berpeluang melihat dengan mata kasar segala aset ketenteraan dimiliki Malaysia, yang jika sebelum ini hanya melihat di televisyen dan internet.

“Perubahan pentadbiran kerajaan pula menjadi faktor terhadap perubahan situasi ini melalui penganjuran di Putrajaya yang sekali gus memberi satu pengalaman baharu kepada rakyat.

“Selain itu, tema ‘Sayangi Malaysiaku’ amat bertepatan dengan sambutan yang memperlihatkan ratusan ribu rakyat daripada segenap lapisan umur, kaum dan bangsa turun memberi sokongan bagi menyemai perasaan cinta kepada negara,” katanya ketika ditemui SelangorKini, di sini, hari ini.

Senada dengan Fadzi Syam Mohamad Sarip, 40, beliau turut mengakui sambutan di Putrajaya lebih baik kerana lokasinya yang strategik, lapang dan mampu menampung jumlah kehadiran pengunjung begitu ramai.

Katanya, konsep ‘Sayangi Malaysiaku’ juga memberi makna mendalam terhadap kepimpinan negara yang lebih telus dan berterus-terang supaya rakyat tahu status kerajaan kini.

“Bagaimanapun, perasaan berkobar-kobar untuk meraikan Hari Kebangsaan itu tidak pernah padam sebagai rakyat yang cintakan negara,” katanya.

 


Pengarang :