NASIONAL

Hari Kebangsaan tahun ini untuk rai kemenangan rakyat – Dr. Mahathir

GEORGE TOWN 5 OGOS: Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini lebih bermakna kerana rakyat bukan sahaja meraikan pembebasan daripada penjajah malah pembebasan daripada kerajaan kleptokrasi.

Beliau berkata, sambutan kemerdekaan pada kali ini adalah untuk meraikan kemenangan rakyat yang berkorban dan berani menyelamatkan negara daripada sebuah kerajaan kleptokrasi.

 

“Sesungguhnya rakyatlah yang membebaskan diri mereka dengan berani keluar berduyun-duyun mengundi, menolak kerajaan kleptokrasi. Walaupun terdapat banyak halangan dan ugutan tetapi rakyat tidak gentar.

“Akhirnya ialah kejayaan luar daripada dugaan. Tak banyak negara dapat tukar pemerintahan tanpa rusuhan dan kematian pejuang kerana pengorbanan rakyat begitu besar (maka) pemerintahan dahulu terpaksa akur dan menyerah kuasa.

“Inilah yang kita rayakan hari ini, kemenangan rakyat,” kata Dr. Mahathir berucap melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2018 di Padang Kota Lama di sini malam tadi.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan menteri-menteri Kabinet serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :