SELANGORSENI

Haron Mokhtar kembali dengan pameran solo ‘Perakam Waktu’

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 OGOS: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli merasmikan Pameran Solo Ke-8 Haron Mokhtar ‘Perakam Waktu’ di Galeri Shah Alam.

Pameran yang bermula 15 Ogos sehingga 28 September ini merupakan karya-karya catan mutakhir yang dihasilkan pada 2018.

Mengangkat tajuk ‘Haron Mokhtar: Kapsul Masa 1988-2018’ (Siri Perakam Waktu), ia adalah perlambangan atau simbolik ketinggian warisan penduduk asal rantau ini dalam bentuk 86 karya catan.

Konsep ‘Kapsul masa gergasi’ menerusi karyanya ini dihimpunkan dalam sebuah galeri sebagai usaha mengingati kehebatan sejarah dan warisan masa lalu di samping membina kekuatan serta kepintaran masa hadapan.

Menerusi 86 karya yang dihasilkan, Haron memfokuskan kepada empat tema utama seperti adat, budaya dan warisan, haiwan, figura serta pengangkutan.

Antara tajuk dalam karyanya seperti Siri Khazanah Bahari I-IX, Waris Baba dan Nyonya I-III, Pelamin Baba Nyonya dan Balik Haji I-II.

Dalam lukisan dipamerkan turut mengimbau objek memori sebagai rakaman budaya yang menggamit kenangan silam seperti mangkuk tingkar, pelita dinding dan gasolin.

Peminat siri lukisan ini boleh dimiliki pada harga di bawah RM10,000.

Haron yang juga seorang guru memulakan karier pada pertengahan 80an disifatkan sebagai pelukis konsisten dalam memanifestasikan manifesto Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK) 1971 yang menetapkan salah satu hala tuju seni hendaklah berteraskan kebudayaan rakyat asal rantau ini.

Kehebatan orang Melayu dalam pertukangan seni bina rumah di rantau ini merangkumi Asia Tenggara dirakamkan Harin sebagai pusat pemancaran, pengembangan dan warisan kebudayaan Melayu yang ulung satu ketika dahulu dengan memperlihatkan kekayaan, kehalusan serta keperibadian Melayu itu sendiri.

Dalam majlis sama, Haron turut menyembahkan cenderamata berbentuk lukisan bertajuk ‘Puja Pantai’ kepada Sultan Sharafuddin.

 


Pengarang :