NASIONAL

Hayati erti kemerdekaan, terap dalam jiwa

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 21 OGOS: Semua lapisan masyarakat diminta menghayati nilai dan erti sebenar kemerdekaan negara serta semangatnya yang perlu diterapkan dalam jiwa.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir berkata, rakyat perlu sedar akan perjuangan nenek moyang menentang penjajah untuk mempertahankan tanah air yang tercinta.

“Kemerdekaan ini sangat besar maknanya dalam hidup rakyat Malaysia. Hargainya sebagai peristiwa penting.

“Tidak mudah sebuah negara yang dijajah. Nenek moyang bertungkus-lumus memastikan negara mencapai kemerdekaan.

“Saya sering ke Indonesia melihat sambutan dilaksanakan, di sana. Saya perhatikan walaupun hanya mengayuh beca tetapi mereka meletakkan bendera dan usahakan sendiri mendirikan pintu gerbang,” katanya ketika Kempen Jalur Gemilang dan Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini.

Mohd Anuar berkata, sambutan di negara berkenaan juga dilihat sebagai satu bangsa tanpa mengira pegangan politik.

Justeru, beliau berharap semangat kemerdekaan terus ditiup oleh semua pihak dan membantu memperbanyakkan aktiviti patriotik dengan kerjasama agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan.

“Kemerdekaan kali ini juga istimewa kerana pertama diadakan, di bawah pentadbiran baru,”katanya.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati pulang ke kampung halaman sepanjang cuti perayaan Aidiladha dan kemerdekaan tidak lama lagi.


Pengarang :