NASIONAL

HELWA ABIM gesa MAB izin pekerja Islam tutup aurat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 8 OGOS: Malaysian Airlines Berhad (MAB) digesa memberi kelonggaran kepada kakitangannya termasuk pramugari Islam berpakaian menutup aurat dan bertudung ketika menjalankan tugas.

Naib Presiden Hal Ehwal Wanita (HELWA) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Nor Azura Kamarudin Sohami berkata, sebagai syarikat penerbangan negara, MAB seharusnya bersikap terbuka dan mempertimbangkan perkara itu demi kebaikan bersama.

“HELWA ABIM menggesa pengurusan MAB memberi pilihan kepada pramugari untuk memilih berpakaian menutup aurat dan bertudung sewaktu bertugas sebagai staf kabin.

“Perkara ini bukan sesuatu yang janggal mahupun ketinggalan zaman bagi sebuah negara Islam memandangkan syarikat penerbangan gergasi antarabangsa seperti British Airways mempunyai polisi berkaitannya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya mencadangkan supaya MAB memperkenalkan polisi pemakaian mesra wanita Islam yang jelas.

Katanya, sebarang bentuk diskriminasi terhadap pekerja wanita beragama Islam di tempat kerja adalah tidak boleh diterima sama sekali.

“HELWA ABIM menyifatkan isu pemakaian tudung dan menutup aurat ketika bertugas telah lama berterusan dan perlu diselesaikan dengan segera.

“Ia bukan hanya isu agama dan maslahah di tempat kerja malah kita berpandangan hak pekerja wanita Muslim wajar diambil berat dan tidak dipandang enteng,” katanya.

Nor Azura berkata, antara faktor kejayaan syarikat penerbangan terkemuka dunia adalah pengalaman mantap dalam diversiti jaringan penerbangan serta jaminan kualiti dan tahap keselamatan kapal terbang pada tahap paling baik.

“Maka MAB seharusnya boleh melaksanakan polisi pemakaian yang mengangkat martabat pekerja wanita Islam yang tidak memberi kesan kepada untung rugi industri penerbangan,” katanya.


Pengarang :