NASIONAL

HFMD: Ibu bapa perlu nasihat anak jaga kebersihan

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 OGOS: Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim (Serantau Muslim) menggalakkan ibu bapa menasihati anak mereka supaya menjaga kebersihan sepanjang masa walau di mana sahaja.

Timbalan Pengerusinya, Dr Muhamad Azrin Omar berkata, perkara itu perlu diambil serius ekoran peningkatan wabak penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) yang semakin menjadi kebimbangan masyarakat.

“Kita optimis ibu bapa lebih bertanggungjawab menjaga kesihatan anak dan tidak membiarkan anak yang dijangkiti HFMD bergaul dengan yang lain buat sementara waktu supaya ia dapat dikawal.

“Selain itu, Serantau Muslim merasakan pentingnya pembabitan semua pihak dalam mengadakan program pencegahan secara drastik kepada kanak-kanak, ibu bapa, guru dan seluruh anggota masyarakat supaya penyakit itu dapat dikawal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Muhamad Azrin berkata, pengusaha tadika dan pihak sekolah turut digalakkan menyediakan sabun anti bakteria untuk kegunaan pelajar.

“Saya berharap pihak sekolah komited mendidik pelajar untuk membasuh tangan sebelum makan dan selepas makan serta selepas menggunakan tandas kerana ia dapat mencegah sebaran wabak HFMD ini.

“Ia kerana penyakit ini boleh berjangkit melalui sentuhan, air liur, najis dan cecair daripada hidung,” katanya.

Terdahulu, data yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia, pada akhir Julai lalu mencatatkan 40,949 kes wabak HFMD, di seluruh Malaysia.


Pengarang :