SELANGOR

Highland Towers bakal berubah jadi taman rekreasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Kawasan perumahan, Highland Towers yang sudah terbiar sejak 25 tahun lalu bakal dibangunkan menjadi sebuah taman rekreasi.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, bagaimanapun cadangan itu masih lagi diperhalusi serta melalui perbincangan rapi.

Katanya, Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers sudahpun mengadakan pertemuan sebanyak lima kali bagi mengenalpasti pemilik hartanah untuk kawasan terbabit.

“Kementerian memahami bahawa tapak itu tidak sesuai untuk dibangunkan menjadi kawasan perumahan, jadi disebabkan itulah kita merancang untuk membina sebuah taman.

“Apabila kita buat taman, ia akan menjadi lokasi strategik untuk penduduk Ampang menggunakannya,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pelancaran Girl2Leader di Hotel Corus, pagi tadi.

Pada 28 Jun lalu, Zuraida memaklumkan Jawatankuasa Pembangunan Semula Highland Towers diwujudkan bagi melaksanakan kajian pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

Antara pihak yang bekerjasama dalam jawatankuasa khas tersebut termasuk Kementerian Kewangan, Kerajaan Selangor, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dan Kementerian Kerja Raya.

Difahamkan, kawasan Highland Towers dibiar terbengkalai sejak 1993, dalam tragedi satu daripada tiga blok Kondominium Highland Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh yang meragut nyawa 48 orang.

 


Pengarang :