BERITA UTAMASELANGOR

Hospital SELGATE Rawang tanda aras perkhidmatan kesihatan Selangor

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

RAWANG, 17 OGOS: Pembangunan Hospital SELGATE Rawang menjadi penanda aras terhadap sektor penjagaan kesihatan dalam negara, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Beliau berkata, hospital pertama dibangunkan SELGATE Corporation itu selaras dengan mandat diberi Kerajaan Negeri bersama Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk meneroka bidang perkhidmatan penjagaan kesihatan.

“Pembinaan hospital ini bakal memberikan perkhidmatan khususnya untuk masyarakat di Rawang dan sekitarnya yang hampir mencecah 800,000 penduduk.

“Ia dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2019 meliputi dua fasa, dengan 95 katil yang akan memulakan operasi pada suku pertama 2020.

“Manakala, bagi fasa kedua dengan kapasiti 267 katil yang akan beroperasi pada 2023,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perletakan Baru Asas Hospital SELGATE Rawang, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dr Noraida Mohd Yusof; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SELGATE Corporation, Noor Hisham Mohd Ghouth dan barisan EXCO Kerajaan Negeri.

Amirudin berkata, hospital berkenaan bakal memiliki konsep infrastruktur moden dan unik yang berhasrat mencapai penarafan Perak bagi ‘Indeks Bangunan Hijau’ (GBI).

“Reka bentuk hospital ini juga akan mewujudkan persekitaran kondusif yang dapat meningkatkan mutu kesihatan pesakit.

“Ini ditambah dengan faktor persekitaran seperti pencahayaan, warna, aroma, pandangan, seni, bunyi, tekstur dan bahan pembinaan yang digunakan mampu memberikan kesan terapeutik pada pesakit,” katanya.

SELGATE adalah sebuah anak syarikat milik penuh PKNS yang bertanggungjawab dalam pembangunan dan penggabungan hospital serta kilinik umum sedia ada.


Pengarang :