SELANGOR

i-asuh kesan pengasuh berdaftar

OLEH SHEEDA FATHIL

SEPANG, 29 OGOS: Kerajaan Negeri bakal menubuhkan pangkalan data i-asuh, bermula tahun depan bagi membolehkan ibu bapa mengesan pengasuh berdaftar untuk menjamin keselamatan anak mereka.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, langkah itu penting bagi memudahkan ibu bapa menyemak dan menghantar anak mereka di bawah pengasuh berdaftar, di Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan menganjurkan pelbagai aktiviti dan kursus bersesuaian kepada pengasuh berdaftar dengan i-asuh, manakala Jabatan Kebajikan Masyarakat selaku agensi pemantau.

“Perlunya i-asuh ini memandangkan pada masa kini terlalu banyak kes tidak diingini berlaku terhadap anak asuhan sehingga menyebabkan kematian.

“Oleh itu, Kerajaan Negeri komited melaksanakan i-asuh kerana ia dapat mengelakkan ibu bapa daripada terus bimbang menghantar anak ke pusat asuhan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian PAWE Pelangi Impian Sepang, di Dewan Orang Ramai, Kampung Ulu Chuchoh, Sungai Pelek, di sini, semalam.

Bagaimanapun, Dr Siti Mariah berkata, masyarakat tidak perlu berterusan menuding jari menyalahkan pihak JKM menjadi punca kepada insiden kanak-kanak didera.

Katanya, Kerajaan Negeri optimis setiap pengasuh di negeri ini akan mendaftarkan diri menerusi i-asuh bagi mengelakkan perkara tidak diingini daripada terus berlaku.

Sementara itu, mengulas berkenaan masalah mental pengasuh yang menyebabkan punca kematian kanak-kanak, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan membuat saringan kepada setiap pengasuh bagi mengenal pasti tahap tekanan seseorang individu itu.

“Kita sedang dalam proses perbincangan bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai latar belakang baik dan bebas daripada gejala negatif,” katanya.

 


Pengarang :