GLOBAL

India, China setuju perluas hubungan ketenteraan

NEW DELHI 25 OGOS: India dan China bersetuju melanjutkan hubungan ketenteraan mereka dan memperluaskan interaksi bagi memastikan perdamaian di sempadan, kata India selepas pertemuan antara Menteri Pertahanan seteru lama itu.

Hubungan antara negara gergasi Asia itu tegang tahun lalu berhubung pertikaian tentera selama 73 hari di sempadan terpencil altitud tinggi di pergunungan Himalaya.

Namun sejak beberapa bulan lalu, kedua jiran itu berusaha memulihkan hubungan dan Menteri Pertahanan China Wei Fenghe yang dalam siri lawatan memaklumkan Perdana Menteri India, Narendra Modi minggu ini, persahabatan antara mereka berlangsung sejak sekian lama.

Kelmarin, Fenghe mengadakan perbincangan lanjut dengan rakan sejawatannya, Nirmala Sitharaman, kata kerajaan India.

“Kedua-dua pihak memutuskan untuk melanjutkan hubungan antara pasukan tentera berkaitan latihan, latihan bersama dan interaksi profesional lain,” kata kerajaan India dalam satu kenyataan dikeluarkan lewat kelmarin.

India berkata, menteri berkenaan juga membincangkan isu sempadan dan bersetuju melaksanakan ‘langkah pembangunan keyakinan’ untuk memastikan pengekalan perdamaian termasuk pengendalian awal talian bantuan antara pasukan bersenjata.

India dan China terbabit peperangan pada 1962 dan pertelingkahan gagal diselesaikan berhubung sempadan sepanjang 3,500 kilometer menjejaskan hubungan keduanya sejak itu.

Namun dua ekonomi besar Asia itu berkongsi kedudukan sama dalam pelbagai isu termasuk kebimbangan mengenai tarif dilaksanakan Amerika Syarikat dengan Presiden China Xi Jinping dan Modi pada April lalu bersetuju memperbaiki hubungan.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :