SELANGOR

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor siasat punca kematian lembu ternak

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 OGOS: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian lembu di ladang kelapa sawit Bukit Cloh, Jeram, Kuala Selangor, dekat sini, 19 Ogos lalu.

Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings), Ami Nardin Ishak berkata, jabatan berkenaan telah mengambil sampel air sungai itu bagi tujuan itu dan hasil siasatan akan dimaklumkan dalam tempoh terdekat.

“Kita serahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor yang menjalankan ujikaji mengenai kandungan air yang diambil sampelnya itu.

“Kita akan mengetahui punca kejadian ini nanti daripada hasil ujikaji dijalankan sama ada air sungai tercemar atau sebaliknya,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian mengulas isu kematian lembu ternakan berlaku di ladang kepala sawit Bukit Cloh, Jeram, Kuala Selangor, dikatakan berpunca dari air Sungai Sembilang yang terletak bersebelahan Tapak Pelupusan Sanitari di bawah kendalian anak syarikat Worldwide Holdings, Worldwide Landfills Sdn Bhd.

Difahamkan, berlaku kematian antara sepuluh hingga 15 ekor lembu termakan di ladang itu yang menimbulkan keresahan penternak.

Mengulas lanjut, Ami Nardin berkata, pihaknya prihatin dan mengambil serius perkara berlaku namun menyerahkan kepada pihak berkuasa berkaitan bagi menjalankan siasatan.

“Tindakan selanjutnya hanya akan diputuskan selepas keputusan hasil siasatan diumumkan,” katanya.

Difahamkan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor telah mengambil sampel air sungai dan Jabatan Alam Sekitar Selangor juga mengambil sampel air di loji rawatan (treatment plant) bagi menjalankan uji kaji.

Ujikaji berkaitan dikatakan mengambil masa antara satu hingga dua minggu bagi mengenal pasti punca kejadiannya.

Selain itu, proses bedah siasat ke atas haiwan berkenaan juga dijalankan bagi tujuan sama.


Pengarang :