PBTSELANGOR

Jangan kibar bendera lusuh – MBSA

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 7 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai supaya tidak mengibarkan Jalur Gemilang yang sudah lusuh sempena bulan kemerdekaan kali ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Komunikasi MBSA, Shahrin Ahmad berkata, rakyat Malaysia perlu menunjukkan sikap patriotik terhadap negara dengan mengibarkan bendera yang masih elok.

“Kami memohon orang ramai khususnya di sekitar kawasan pentadbiran MBSA untuk mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Selangor, mulai 16 Ogos sehingga 25 September ini di premis masing-masing.

“Arahan ini meliputi semua bangunan pejabat kerajaan, swasta, kilang, kedai, masjid, surau, rumah ibadat bukan Islam seperti gereja, kuil, tokong serta kediaman,” katanya dalam kenyataan.

Shahrin berkata, MBSA turut menyeru masyarakat di sekitar Shah Alam untuk memasang bendera dengan cara yang betul dan tidak menggunakan Jalur Gemilang yang sudah koyak hingga menghilangkan bentuk fizikalnya.

Katanya, pemilik bangunan juga digalakkan menghias dan mengecat semula bangunan serta menceriakan premis masing-masing.

“Pemasangan Jalur Gemilang dan bendera Selangor diharapkan dapat menyemarakkan lagi semangat cintakan negara dan menaikkan semangat patriotik kepada orang ramai sempena Hari Kemerdekaan Ke-61 tahun ini,” katanya.


Pengarang :