NASIONAL

Jawatankuasa Kewangan Awam, Reformasi Cukai ditubuh bantu kurangkan defisit fiskal

KUALA LUMPUR, 29 OGOS: Jawatankuasa Kewangan Awam dan Jawatankuasa Reformasi Cukai akan ditubuhkan bagi mengurangkan defisit fiskal kepada 2.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kata Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Katanya, usaha itu antara lain bagi meneruskan agenda konsolidasi fiskal secara beransuran tanpa menggugat pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Semalam, saya mempengerusikan perbincangan kumpulan fokus yang pertama, membincangkan kaedah untuk memperbaiki keadaan kewangan Kerajaan Persekutuan.

“Antara topik khusus dibincangkan adalah cara mempelbagaikan pendapatan kerajaan, mengoptimumkan perbelanjaan kerajaan serta merasionalisasikan hutang dan liabiliti Kerajaan Persekutuan yang melambung tinggi ke RM1.087 trilion akibat penyelewengan dan kelemahan tadbir urus kewangan kerajaan sebelum ini.

“Untuk mencapai tujuan itu, dua jawatankuasa baharu berkenaan akan ditubuhkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Lim berkata, Jawatankuasa Kewangan Awam akan menyediakan rancangan fiskal jangka sederhana sambil meneruskan agenda konsolidasi fiskal dengan mengambil kira keperluan kerajaan untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan menyokong pertumbuhan ekonomi melalui perbelanjaannya.

Katanya, jawatankuasa itu akan dipengerusikan beliau sendiri dan dianggotai Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Nor Shamsiah Yunus.

Jelas Lim lagi, Jawatankuasa Reformasi Cukai pula akan mengkaji sistem percukaian negara secara menyeluruh bagi menjadikannya lebih efisien, lebih neutral dan lebih progresif bagi membantu memacu pertumbuhan ekonomi berkualiti tinggi tanpa membebankan rakyat.

“Antara langkah yang akan dikaji adalah cara meminimumkan ketirisan cukai dan pengelakan cukai,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang menimbangkan beberapa cadangan seperti melepaskan pegangan sahamnya dalam beberapa syarikat yang tidak kritikal dan tidak strategik tanpa menjejaskan kestabilan pasaran sambil melakukan lelongan tanah awam secara terancang dan tender terbuka.

Menurutnya, sebelum ini, tanah awam dijual pada harga yang sangat rendah kepada pihak yang mempunyai hubungan politik dengan kerajaan terdahulu dan perbuatan ini mengurangkan hasil kerajaan.

Lim berkata, dari segi makro, kerajaan akan sentiasa memastikan keadaan ekonomi dan pasaran tempatan membangun dengan stabil.

“Bagaimanapun, perlu ditegaskan bahawa, seperti negara lain, prestasi pasaran modal tempatan dan juga keutuhan nilai mata wang ringgit dipengaruhi oleh perkembangan global,” katanya.

Dalam pada itu, Lim berkata, semua rakyat Malaysia dijemput menyertai proses penyediaan belanjawan dengan menyumbangkan cadangan ke laman sesawang, belanjawan2019.treasury.gov.my. untuk Belanjawan 2019.

Menurutnya, laman ini akan mula beroperasi pada 28 Ogos hingga 30 September yang mana orang ramai boleh berkongsi idea dengan kerajaan di Facebook, Instagram dan Twitter dengan menggunakan tanda pagar #belanjawan2019.

Belanjawan 2019 akan dibentangkan di Parlimen pada 2 November ini.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :