BERITA UTAMANASIONAL

Jawatankuasa Pemilihan Pusat KEADILAN perlu tegas

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 9 OGOS: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) diingatkan supaya tegas bertindak terhadap sebarang tindakan salah guna kuasa bagi meraih sokongan sepanjang Pemilihan KEADILAN 2018 berlangsung.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemilihan harus bebas daripada unsur rasuah selaras dengan matlamat parti menolak amalan terbabit.

“Jika ada ahli JPP yang tidak mampu bersikap bebas, maka mereka harus undur.

“Mereka harus pantau kerana sekarang berbeza dengan dulu. Calon perlu elak penyalahgunaan kuasa, maknanya Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Menteri Besar dan EXCO tidak boleh guna kedudukan mereka sama ada memujuk atau mengugut mana-mana ahli untuk meraih undi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, di Tropicana Merchant Square, di sini, hari ini.

Anwar berkata, walaupun belum aduan rasmi dibuat tetapi sudah terdapat suara yang menyatakan kebimbangan terhadap isu berkenaan.

Katanya, calon juga perlu mengelak daripada menyinggung dan mencerca peribadi lawan masing-masing.

“Selagi saya diberi mandat untuk memimpin, maka saya tidak akan bertolak ansur,” katanya.

Sementara itu, Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, mengingatkan Pemilihan KEADILAN 2018 harus berjalan dalam semangat kekeluargaan.

“Proses yang kita mahukan perlu bersih dan juga semangat perjuangan, kekitaan, kekeluargaan, tidak ada selar menyelar, tidak ada jatuh menjatuh, serangan peribadi atau seumpamanya,” katanya.


Pengarang :