AGAMAGLOBAL

Jemaah haji bebas penyakit berjangkit di Arafah

MINA 20 OGOS: Menteri Kesihatan Arab Saudi, Tawfiq al-Rabiah berkata tiada tanda-tanda sebarang penularan wabak penyakit berlaku ketika hampir 2 juta jemaah haji dari seluruh dunia berdepan hujan lebat sejak semalam, untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.

Hujan lebat dan ribut petir memaksa jemaah haji berlindung di khemah-khemah dan mengharung air dengan amaran pertahanan awam mengatakan kemungkinan banjir akan berterusan sepanjang malam.

Semua jemaah dijangka tiba di Gunung Arafah pagi ini untuk wukuf dengan sambutan menjelang Aidiladha atau Hari Raya Korban bermula esok apabila mereka mula keluar untuk upacara melontar selama tiga hari.

Pihak berkuasa sudah bersiap-sedia beberapa bulan lebih awal untuk memastikan keselamatan jemaah, kata al-Rabiah kepada Reuters.

Katanya lebih daripada 30,000 pekerja kesihatan mengendalikan 25 hospital dan menawarkan perkhidmatan perubatan percuma, termasuk prosedur yang kompleks seperti pembedahan jantung.

“Syukur kepada Tuhan, semuanya kini terkawal dan keadaan kesihatan sangat baik,” katanya dalam satu wawancara di Hospital Awam Mina.

Potensi penyebaran penyakit di kalangan jemaah haji, yang menghabiskan masa lima hari di penempatan yang rapat, sering makan di luar dan tidur di atas lantai sering menjadi kebimbangan utama.

Pada masa lalu, perhimpunan umat Islam terbesar di dunia itu menyaksikan beberapa tragedi berdarah seperti rempuhan, kebakaran dan rusuhan, dengan pihak berkuasa kadang-kala berdepan halangan untuk bertindak balas.

Insiden rempuhan pada 2015 mengorbankan hampir 800 jemaah haji, menurut Riyadh, walaupun ada negara terbabit mendakwa ia mencecah 2,000 korban, lebih 400 daripadanya adalah warga Iran.

Musim haji dan umrah menjana pendapatan berbilion dolar setiap tahun kepada Arab Saudi.

Pihak berkuasa menyasarkan untuk meningkatkan angka jemaah umrah dan haji kepada masing-masing 15 juta dan 5 juta menjelang 2020 dan berharap jumlah jemaah umrah meningkat kepada 30 juta menjelang 2030.

SUMBER: REUTERS


Pengarang :