SELANGOR

Johan Setia cecah bacaan jerebu tidak sihat

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 17 OGOS: Bacaan jerebu di Johan Setia, Klang mencecah paras tidak sihat, hari ini.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Johan Setia menjadi lokasi yang mencatatkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) paling tinggi di Selangor iaitu dengan bacaan IPU 101 setakat 9 pagi tadi.

Sementara di Pelabuhan Klang pula, IPU mencecah pada bacaan 94, Shah Alam, 80, Putrajaya, 80, Petaling Jaya, 79, dan Kuala Lumpur pada bacaan 75.

Melalui kenyataan di laman web JAS, pihaknya turut menasihatkan orang awam supaya tidak melakukan pembakaran terbuka serta menggalakkan penggunaan penutup hidung dan mulut sekiranya berada di kawasan luar.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti luar, riadah mahupun sukan agresif, serta jangan lupa minum air lebih banyak,” kata kenyataan tersebut.

IPU 0 hingga 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (amat tidak sihat) dan lebih 301 (berbahaya).

Untuk maklumat lanjut mengenai bacaan IPU terkini seluruh negara, orang ramai boleh layari laman web apims.doe.gov.my

 


Pengarang :