NASIONAL

Jualan tiket KTM, ETS dilanjut hingga 14 November

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 2 OGOS: Jualan tiket untuk perkhidmatan KTM Intercity dan Perkhidmatan Tren Eletrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan dilanjutkan operasi penjualan sehingga 14 November dengan menggunakan jadual sedia ada.

KTMB dalam satu kenyataannya berkata, penjualan tiket yang sepatutnya pada 10 Oktober itu dilanjutkan ekoran projek menaik taraf infrastruktur dan sistem Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) sedang dalam pelaksanaan.

“Tiket perjalanan bagi 1 hingga 14 November akan mula dijual pada 30 Ogos, bermula 8.30 pagi, manakala jualan tiket perkhidmatan tren shuttle Tebrau (JB Sentral – Woodlands – JB Sentral), kekal seperti biasa iaitu dalam tempoh 30 hari sahaja,” katanya.

Jumlah perjalanan kedua-dua perkhidmatan tren itu turut dikekalkan, iaitu sebanyak 49 perjalanan sehari bagi KTM Intercity dan 36 perjalanan sehari bagi ETS.

KTMB turut menyarankan agar penumpang perkhidmatan tren membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang menyambut perayaan Deepavali dan yang akan pulang ke kampung.

Maklumat lanjut dan jadual perkhidmatan KTM Intercity dan ETS boleh dirujuk di laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi pusat panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.


Pengarang :