SELANGOR

Karnival Merdeka MPSJ sedia pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 23 OGOS: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan menganjurkan Karnival Merdeka MPSJ 2018, pada 26 Ogos ini.

Bertempat di Perkarangan Arena MPSJ, Persiaran Perpaduan USJ 5, program dijadual berlansung pada 7.30 pagi sehingga 12.00 tengah hari.

Timbalan Pengarah Jabatan Korporat Dan Pengurusan Strategik MPSJ, Azfarizal Abdul Rashid berkata, penganjuran karnival itu bertujuan memberi kesedaran dan memupuk semangat patriotisme cintakan negara.

“Ia juga dianjurkan sebagai platform mengeratkan lagi hubungan silaturahim melalui penyertaan masyarakat di dalam aktiviti yang dianjurkan semasa karnival ini berlangsung,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Antara aktiviti disediakan adalah Merdeka Fun Walk & Fun Ride, Persembahan Kombo, Kelas Kraftangan, Eco Free Market dan Wish List.

Selain itu, turut dianjurkan Pertandingan Indoor Games, mewarna, sukan traditional, sepakan penalti, soccer kids, karaoke serta gubahan manisan.

“Hadiah wang tunai menanti pengunjung yang hadir memakai pakaian bertemakan kemerdekaan.

“Sebanyak 500 pokok herba diberi kepada peserta Fun Walk terawal,” katanya.


Pengarang :