SELANGOR

Kebocoran ammonia: MBSA arah kilang proses ais hentikan operasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 OGOS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengarahkan kilang memproses ais di Desa Latania Seksyen 36, di sini, yang terbabit dalam kejadian kebocoran gas ammonia supaya memberhentikan operasi untuk sementara waktu.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, hal itu bagi memudahkan pihak Bomba dan Penyelamat meneutralkan bacaan paras ammonia di kawasan kilang berkenaan.

Katanya, pemeriksaan MBSA mendapati kilang terbabit mempunyai lesen sah bagi menjalankan aktiviti pemprosesan ais, tetapi tidak memiliki lesen dan kebenaran menyimpan bahan merbahaya.

“Pihak Bomba dan Penyelamat kini sedang berada di lokasi untuk melakukan kerja menyelamat dan berusaha memastikan kawasan kilang serta persekitaran kawasan tidak lagi dicemari dengan gas ammonia, iaitu gas yang dipercayai bocor dari kilang itu.

“Pada masa sama, pasukan pantas MBSA juga berada di lokasi untuk membantu pasukan Bomba dan Penyelamat, serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemantauan sitausi di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Terdahulu, kilang memproses ais itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan kebocoran ammonia pada salah satu injap paip, awal pagi tadi.

Sewaktu kejadian, terdapat 20 pekerja warga asing dalam kilang terbabit yang sedang bertugas.

Kemalangan berkenaan turut menyebabkan dua daripada mereka meninggal dunia sementara 18 yang lain selamat dan telah dihantar ke hospital.


Pengarang :