Selangorkini
Kastam Diraja Malaysia membuat lebihan bayaran tuntutan GST bagi 2019 berjumlah RM4.38 juta.
NASIONAL

Kegagalan BN kembalikan rebat GST punca pengguna tanggung kenaikan harga berganda

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 OGOS: Kegagalan kerajaan terdahulu membayar rebat Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dalam tempoh ditetapkan menyebabkan modal pusingan peniaga terjejas.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia, Dr Rosli Yaakob berkata, keadaan itu menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga barangan bagi menampung kehilangan modal pusingan perniagaan masing-masing.

“Seharusnya sebahagian kutipan GST untuk dibayar kembali kepada peniaga sama ada pengeluar, pemborong atau peniaga runcit yang dimasukkan ke dalam akaun wang cukai disatukan itu perlu disalurkan ke akaun wang amanah tetapi tidak dilakukan.

“Wang rebat yang harus dipulangkan kepada peniaga ini tidak dibayar dalam tempoh dua minggu atau ada yang tertangguh, sampai dua tahun. Ini menyebabkan peniaga kehilangan modal pusingan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, di sini, hari ini.

Rosli berkata, akibat kegagalan itu pengguna terpaksa menanggung kenaikan berganda iaitu disebabkan peniaga kehilangan modal pusingan dan enam peratus GST itu sendiri.

Katanya, kerajaan yang ada hari ini perlu menjalankan siasatan menyeluruh bagaimana perkara itu terjadi dan tindakan sewajarnya perlu diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kerajaan terdahulu gagal membayar kembali tuntutan semula kutipan GST berjumlah kira-kira RM18 bilion kepada pengilang, pemborong dan peniaga runcit.


Pengarang :