NASIONAL

Kenduri Rakyat penghubung pemimpin dan masyarakat

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

AMPANG, 24 OGOS: Program Kenduri Rakyat anjuran Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin yang berlangsung di Tapak Pasar Malam Ukay Perdana, di sini, malam tadi, dilihat sebagai wadah penghubung antara pemimpin dan rakyat.

Ia dibuktikan melalui pembabitan hampir 2,000 penduduk setempat daripada pelbagai lapisan umur, termasuk beberapa pimpinan cabang di kawasan berkenaan.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, aktiviti tahunan itu mampu menjadi landasan terbaik kepada penduduk mengukuhkan hubungan melalui semangat kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

“Ia adalah acara tradisi bagi saya untuk mengadakan kenduri rakyat dan tahun ini sebanyak 30 ekor lembu diagihkan khusus kepada penduduk, surau serta masjid di sekitar Ampang.

“Sambutan daripada penduduk amat menggalakkan memandangkan terdapat sembilan kelompok pangsapuri dengan bilangan penduduknya yang ramai hadir menjayakan program ini.

“Terima kasih kepada semua jawatankuasa penduduk yang bertungkus-lumus mengadakan majlis ringkas ini, walaupun ringkas tetapi sangat meriah dan akan tetap diteruskan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Terdahulu, turut bekerjasama sebagai pengelola acara terbabit ialah Pertubuhan Kebajikan Amal Ukhwah Malaysia bersama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Ampang.

Sebelum itu, majlis yang berlangsung jam 8 malam dan berakhir kira-kira jam 11 malam itu turut menyajikan juadah berupa masakan kampung seperti gulai daging kawah, ayam dan kuih koci.

Lebih istimewa, penduduk menyediakan juadah itu secara bergotong-royong sejak pagi.

Selain itu, pengunjung juga dihiburkan dengan persembahan qasidah daripada sekumpulan kanak-kanak Darul Al Asnaf Al-Fateh, Ulu Yam dan seni silat tradisional.


Pengarang :