NASIONAL

Kerajaan kaji serap lantikan tetap Guru KAFA

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf status guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) termasuk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Fuziah Salleh berkata, kajian terbabit membabitkan status guru KAFA dan penyediaan kursus bersesuai kepada guru KAFA itu.

Katanya, ia akan dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai penyelaras program KAFA.

“JAKIM kini sedang membuat kajian menaik taraf status guru KAFA antaranya dilantik menjadi penjawat tetap dalam perjawatan dan kita ingin pastikan kemahiran guru-guru KAFA ditingkatkan dengan diberi kursus-kursus bersesuaian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada persidangan Dewan Rakyat hari ini ketika menjawab soalan tambahan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (PAS-Kubang Kerian) mengenai perancangan kerajaan dalam menaik taraf status kontrak guru KAFA di seluruh negara.

Pada masa sama, Fuziah berkata, terdapat 31,460 guru KAFA dengan seramai 973,555 murid sedang mengikuti program KAFA serta 5,609 premis KAFA di seluruh negara, ketika ini.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor giat melaksanakan inisiatif baru bagi mengukuhkan peranan guru berkenaan di seluruh negeri selain menaikkan elaunnya kepada RM1,500 kepada lebih 3,000 guru KAFA.

Antaranya pengurusan latihan, pengurusan tekanan, pengursuan pentadbiran sekolah, komunikasi, penulisan kajian dan pengurusan kewangan.

Selain itu, pengajaran dan pembelanjaran interakftif, pelaksanaam pembelanjaran holistik, kaedah penulisan jawi, pembinaan bantuan pendidikan, jati diri dan motivasi, pengurusan displin murid, tarbiah rohani, kursus penyediaan dan kursus penyelanggaraan komputer.


Pengarang :