BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri sedia tubuh Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 20 OGOS: Kerajaan Negeri bakal mengumumkan penubuhan Institut Pemberdayaan Pekerja Selangor bagi memantapkan usaha melahirkan sumber tenaga kerja sesuai dengan aliran ekonomi semasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, institut itu bakal bertindak sebagai badan penasihat yang menyalurkan maklumat kepada Kerajaan Negeri dengan merangka dasar serta cadangan bersesuaian.

“Sebenarnya ada keputusan dasar dibuat pada 2009. Saya semak ia tidak aktif dan bergerak sebagai jawatankuasa sahaja.

“Sekarang saya ingin perkasakan semula jawatankuasa itu supaya dapat meneliti hak pekerja dan persediaan pekerja di Selangor berdepan cabaran.

“Badan ini akan merangka dasar dan inisiatif yang dapat memberikan nilai tambah sewajarnya kepada pekerja serta penjawat awam.

“Institut ini juga akan mengadakan kerjasama strategik bersama beberapa badan lain bagi melahirkan pekerja yang sesuai dengan keperluan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan dan Pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang 2018 yang dihoskan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

Katanya, pihaknya sedang berbincang dengan pelbagai persatuan bagi mencari inisiatif terbaik selain akan meletakkan bebererapa wakil pertubuhan serta kesatuan sekerja dalam institut berkenaan.

“Institut ini tidak akan menekan pengusaha atau pemilik perniagaan, sebaliknya mereka akan turut terlibat sama kerana produktiviti pekerja memberikan kesan langsung kepada mereka dari segi perolehan dan keuntungan.

“Kalau kos begitu besar, kita akan umumkan dalam pembentangan Belanjawan 2019 tetapi jika memerukan perbelanjaan sedikit, saya akan umumkan sebelum itu,” katanya.


Pengarang :