NASIONAL

Kerajaan pergiat strategi eksport minyak sawit, terutama ke China

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Kerajaan sedang mempergiat strategi meningkatkan eksport minyak sawit negara, khususnya, dalam mendepani cabaran pemasaran di China, dan akan membentuk kerjasama perdagangan yang lebih erat dengan negara itu, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Menurutnya kementerian berkenaan akan menandatangani memorandum kerjasama dan rundingan perdagangan bebas untuk memudahkan pengeksportan produk minyak sawit Malaysia ke China.

“Lawatan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ke China yang dijadualkan bulan ini, akan digunakan sebagai platform untuk mengadakan pertemuan dan perbincangan bagi mewujudkan kerjasama dengan Kerajaan China,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan asal Dr Azman Ismail (KEADILAN-Kuala Kedah) yang bertanyakan strategi kerajaan bagi meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia dalam mendepani cabaran pemasaran di Eropah dan China.

Jawapan Kok dibacakan oleh Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :