NASIONAL

Kerajaan teruskan rebat bil elektrik RM20 ke bawah

KUALA LUMPUR 15 OGOS: Kerajaan akan meneruskan program rebat bagi caj bil elektrik RM20 ke bawah, namun mencari mekanisme baharu agar subsidi itu hanya diterima golongan yang memerlukan.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata pada masa ini, subsidi bil elektrik turut dinikmati semua golongan meskipun mereka bukan dalam kalangan yang layak.

“Ada orang ada banglo, rumah teres, kondominium tapi tidak tinggal di rumah itu menyebabkan bil elektrik mereka berada pada kadar RM20 ke bawah dan mereka bukanlah orang yang memerlukan RM20 itu,” katanya ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Penguntukan Semula Peruntukan Perbelanjaan) Tahun 2018 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Rang Undang-Undang itu memperuntukkan sejumlah RM101,874,289 kepada Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim.

Yeo berkata kementeriannya sedang merangka pelan untuk meningkatkan subsidi bil elektrik namun terhad kepada 179,000 pengguna dalam kalangan miskin dan miskin tegar sahaja.

Sementara itu, Yeo berkata kerajaan tidak akan meneruskan projek MySuria iaitu projek pemasangan solar di rumah-rumah kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) kerana berpendapat ia sukar dilaksanakan.

“Kalau nak bantu orang miskin, tidak perlu letak panel solar…terus bagi subsidi atau subsidi yang berpatutan kerana orang miskin tinggal di kampung.

“Apabila di kampung, susah untuk kita letak panel solar dan sambungkan dengan grid utama…jauh dan itu tidak masuk akal. Oleh itu, kita hadkan kepada 332 peserta kerana kontrak sudah ditandatangani untuk 10 tahun akan datang,” katanya.

Pada masa ini kerajaan menyediakan RM1.133 juta setahun bagi program itu.

Program MySuria yang diperkenalkan pada 2017 oleh kerajaan terdahulu, memerlukan panel suria dipasang di kediaman peserta terpilih untuk menjana tenaga elektrik sebelum dijual semula kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan memperoleh pendapatan pasif RM250 sebulan.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :