NASIONAL

Kereta nasional ketiga bukan keutamaan

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: Pelaksanaan projek kereta nasional ketiga negara disifatkan bukan keutamaan kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN), buat masa ini.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, pelbagai perkara perlu diambil perhatian oleh kerajaan jika mahu projek berkenaan dilaksanakan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih menunggu kajian yang sedang dilakukan terhadap pelaksanaan projek kereta nasional ketiga yang diilhamkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya tidak rasa ia keutamaan kepada negara tetapi biar mereka buat kajian dan kita tentukan nanti.

“Banyak perkara perlu dilihat sebelum buat keputusan. Setuju atau tidak, kena tengok kajian. Adakah ia bagus untuk negara atau adakah ia akan beri lebih masalah kepada negara,” katanya kepada media di lobi Parlimen.

Sebelum ini, Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof berkata, kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara.

Katanya, kerajaan bersedia melancarkan projek kereta nasional 3.0 menjelang 2020, seperti dibayangkan Tun Dr Mahathir.

Perdana menteri mengesahkan aspirasi membina projek kereta nasional ketiga dalam lawatannya ke Jepun, pada Jun lalu selepas PAKATAN memenangi Pilihan Raya Umum ke-14, pada 9 Mei lalu.


Pengarang :