NASIONAL

Kes bunuh Kim Jong-Nam: Siti Aisyah, Doan diperintah bela diri

SHAH ALAM, 16 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan warga Indonesia Siti Aisyah dan warga Vietnam Doan Thi Huong membela diri terhadap pertuduhan membunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam pada tahun lepas.

Hakim Datuk Azmi Ariffin semasa menyampaikan keputusan itu berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadap Siti Aisyah, 26, dan Doan, 29, pada akhir kes pendakwaan.

Dalam penghakimannya, Hakim Azmi berkata beliau telah mengambil langkah untuk meneliti semula keterangan secara objektif dan berpendapat kes pihak pendakwaan daripada semua sudut khususnya perilaku saksi pihak pendakwaan pada perbicaraan.

“Saya juga secara terperinci menimbangkan hujahan kukuh dibentangkan di hadapan saya oleh peguam yang bijaksana dan timbalan pendakwa raya yang bijaksana.

“Cukup untuk saya katakan pada akhir kes pihak pendakwaan, saya telah membuat penilaian maksimum keterangan yang diberikan dan saya mendapati seluruh keterangan dikemukakan oleh pihak pendakwaan pada peringkat ini adalah berwibawa untuk diterima dengan selamat oleh mahkamah.

“Atas alasan-alasan yang saya sebutkan itu, saya berpuas hati semua intipati dalam pertuduhan terhadap tertuduh yang perlu dibuktikan telah dibuktikan. Saya dengan ini mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh. Saya dengan itu memerintahkan mereka membela diri terhadap pertuduhan masing-masing,” katanya yang menyampaikan penghakimannya selama dua setengah jam bermula 10 pagi.

Hakim Azmi berkata daripada keterangan dikemukakan di mahkamah, dapat dikatakan wujud konspirasi terancang antara kedua-dua wanita itu dan empat suspek warga Korea Utara yang masih bebas untuk membunuh Kim Chol.

“Saya tidak menolak kemungkinan ini adalah pembunuhan politik. Namun di sebalik itu saya masih tidak dapat mengesahkan fakta itu.

“Walaupun keterangan dikemukakan pihak pendakwaan dalam bentuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan wujud perancangan rapi dilakukan empat warga Korea Utara itu,” katanya.

Di samping itu, hakim itu berkata kewujudan niat bersama turut dibuktikan dan dua wanita itu adalah pelakunya.

Siti Aisyah dan Doan didakwa dengan empat orang lagi yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb, 2017.

SUMBER: BERNAMA


Pengarang :