NASIONAL

Kes HFMD dijangka menurun

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 7 OGOS: Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye menjangkakan kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan berkurangan menjelang musim cuti persekolahan tidak lama lagi.

Beliau berkata, risiko penyakit HFMD itu dikesan mudah merebak apabila kanak-kanak pergi ke sekolah dan bergaul dengan sekumpulan pelajar lain.

“Setakat ini, sebanyak 44,692 kes HFMD direkodkan di seluruh negara. Namun, kajian terhadap peningkatan jangkitan penyakit itu turut dibuat setiap minggu dan peningkatan jangkitan HFMD pada minggu ini tidak begitu ketara berbanding minggu lepas.

“Sekiranya trend ini berterusan pada minggu berikutnya, terutamanya ketika cuti sekolah maka jumlah kes ini juga akan berkurang,” katanya memetik laporan Bernama.

Mengulas mengenai penutupan sekolah, Dr Lee berkata, situasi semasa penyakit HFMD masih terkawal dan tiada keperluan untuk arahan itu dikeluarkan melainkan jika kanak-kanak di premis terbabit dijangkiti.

“Kementerian bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk mengawal penularan penyakit ini. Jika ada murid di satu kelas dijangkiti HFMD kita akan arahkan kelas itu sahaja ditutup selama tujuh hari.

“Jika terdapat murid yang menghidap HFMD di beberapa (dua atau lebih) kelas di sesebuah sekolah itu, maka kita arahkan sekolah berkenaan ditutup selama tujuh hari juga,” katanya.

HFMD merupakan penyakit endemik yang biasa berlaku setiap tahun, namun pada tahun ini peningkatan kes direkodkan agak ketara iaitu sebanyak 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Ia berpunca daripada jangkitan virus khasnya daripada jenis Coxsackie A16 dan Enterovirus 71 (EV71) dan ia merebak melalui sentuhan dengan air liur, cecair lepuh dan najis pesakit.

Gejala penyakit tersebut adalah demam, ruam (maculopapular dan vesicles) di tapak tangan, kaki dan ulser di mulut dan lidah serta gejala dan tanda jangkitan saluran pernafasan atas (URTI).


Pengarang :