SELANGOR

Kes kebocoran ammonia, Kerajaan Negeri pandang serius

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dengan pihak atau individu yang terbabit dalam kes kebocoran gas ammonia, semalam.

Exco Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, kejadian kali kedua itu tidak seharusnya berulang, namun ada pihak yang masuk semula ke dalam kilang itu menjalankan kerja pembaikan.

Katanya, pihaknya sudah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk memantau kilang itu sebelum ia dipindahkan.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri akan memastikan gas ammonia itu dipindahkan secepat yang mungkin ketika musim cuti sekolah minggu depan.

“Sebelum ini, kilang haram ini sudah ditutup selepas kes pertama namun, kita percaya ada orang masuk membuat kerja ‘repairing’ menyebabkan kebocoran gas berlaku lagi.

“Kita pandang serius kes ini dan tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan nyawa, jadi kita akan pastikan kilang ini akan ditutup sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat kilang berkenaan di Seksyen 36, di sini.

Pada masa sama, Loy Sian berkata, Kerajaan Negeri akan mengarahkan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk membuat semakan semua kilang berada di kawasan berhampiran sekolah mahupun perumahan.

Semalam, tujuh pelajar dan seorang guru Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Hwa Klang, di sini yang terletak bersebelahan dengan sebuah kilang ais yang mengalami kebocoran gas ammonia dikejarkan ke hospital selepas mengadu sakit tekak dan sesak nafas.

Kejadian dipercayai berlaku berikutan kegagalan pemilik kilang membaiki sepenuhnya lima tangki yang menyalurkan gas ammonia ke mesin memproses ais.

Bacaan di lokasi dalam kilang dan kawasan persekitaran mendapati berada di bawah 40 “part per million ” (PPM) dan masih lagi terkawal.

Manakala, Isnin lalu, dua pekerja warga asing di kilang membuat ais maut selepas dilaporkan terhidu gas ammonia yang bocor, manakala 18 lagi dihantar ke hospital bagi menerima rawatan.

 


Pengarang :