SELANGOR

Kes tanah Mukim Ijok selesai, tiada pendakwaan

PUTRAJAYA 30 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah selesai menjalankan siasatan terhadap kes berkaitan isu tanah di Mukim Ijok dan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi), Datuk Seri Azam Baki, berkata bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya memaklumkan tiada sebarang pendakwaan akan dibuat berhubung kes terbabit, lapor BH ONLINE.

 

“Kes Ijok ini kita (SPRM) sudah kemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya dan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada tindakan susulan terhadap kes berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sebelum ini, Jawatankuasa Badan Bertindak Asal Peneroka Tanah Ijok membuat laporan kepada SPRM kerana mengesyaki berlaku penyelewengan oleh beberapa individu yang bertanggungjawab menandatangani perjanjian penyelesaian berhubung kes tanah berkenaan di Mahkamah Persekutuan.

Jawatankuasa itu mendakwa, pihaknya mengesyaki individu terbabit ada menerima suapan untuk kompromi hak dan kepentingan peneroka di kawasan itu.

Selain itu, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim turut mempersoalkan mengapa Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang pada ketika itu menjadi Menteri Besar Selangor memulangkan kembali tanah yang sudah dirampas dari dua pemaju perumahan di Ijok pada 2009.

Tanah berkenaan kemudiannya dijual kepada pihak lain.

Abdul Khalid mendakwa ada pihak tertentu pernah cuba membuat tawaran kepadanya ketika beliau masih menyandang jawatan Menteri Besar Selangor bagi menyelesaikan isu tanah Ijok itu, ketika prosiding kes berkenaan sedang berjalan.

Beliau turut dilaporkan berkata ada pihak tertentu yang berkepentingan termasuk ejen tanah dan institusi kewangan yang tidak mahu projek berkenaan dipulihkan.

SUMBER: BH ONLINE

 


Pengarang :