A giant iceberg is seen behind an Innaarsuit settlement, Greenland July 12, 2018. Picture taken July 12, 2018. Ritzau Scanpix/Karl Petersen/ via REUTERS
ALAM SEKITAR & CUACANASIONAL

Kesan pemanasan global semakin kritikal, masyarakat perlu sedar

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 31 OGOS: Berkongsi pengalaman beliau menjelajah ke tiga negara beriklim sejuk, Ekspeditor Negara Kutub Utara Kutub Selatan dan Greenland, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir menasihatkan masyarakat untuk mengambil serius kesan pemanasan global.

Dr Sharifah berkata, sewaktu beliau menjelajah ke tiga negara terbabit keretakan ais semakin parah dan ia berpunca daripada masyarakat yang mengambil ringan berkenaan dengan isu alam sekitar.

“Kesan pemanasan global berlaku di kutub utara kelihatan sudah hampir 50 peratus dan ia amat mengerikan sekiranya kita sebagai manusia tidak mengambil serius berkenaan perkara ini.

“Sebab itu kempen menghijaukan bumi itu amat penting dan perlunya seseorang itu mengambil serius kerana ia bukan sahaja untuk kita tetapi kepada generasi akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bicara Inspirasi Bersama Ekspeditor Negara Kutub Utara Kutub Selatan dan Greenland, bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Majlis itu turut dihadiri EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud.

Sementara itu, Dr Sharifah berkata, kempen ‘Say No To Plastic Bag’ sahaja tidak mencukupi tetapi kesedaran seperti ‘Reuse, Recycle’ itu perlu ditingkatkan dengan lebih mendalam demi menyelamatkan bumi ini.

“Menggunakan kembali barangan terbuang itu amat penting dan sekiranya ia dilakukan banyak manfaat akan diperoleh kepada generasi akan datang.

“Oleh itu, saya menyaran kepada setiap masyarakat supaya ambil serius isu kesan pemanasan global sekiranya sayangkan bumi kita ini,” katanya.

Terdahulu, Dr Sharifah Mazlina berkongsi pengalaman membimbangkan beliau ketika menjelajah ke negara beriklim sejuk apabila air laut sudah mula naik, gelombang sinaran UV semakin parah kesan daripada pemanasan global.


Pengarang :