SELANGOR

Ketibaan jenazah ADN Seri Setia disambut pilu

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KAJANG, 3 OGOS: Suasana pilu menyelubungi perkarangan rumah sebaik ketibaan pulang Jenazah Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia, Prof Shaharuddin Badaruddin, di Desa Pinggiran Putra, jam 9.45 malam tadi.

Kunjungan SelangorKini sejak jam 8 malam mendapati orang ramai terdiri daripada keluarga terdekat dan sahabat handai hadir untuk bacaan yasin.

Terdahulu hadir memberi penghormatan kepada Allahyarham adalah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Turut berkesempatan hadir, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Antara lain turut kelihatan, ADN Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli bersama ADN Gombak Setia Hilman Idham.

Jenazah Allahyarham disolatkan sekitar jam 9 pagi, di Masjid Jamiurrahmah, Jalan Kampung Limau Manis, Dengkil.

Beliau kemudiannya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Nipis, Dengkil.

Terdahulu, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan dilaporkan tenat sejak Isnin lalu, akibat menderita kanser kolon tahap empat.

Allahyarham dilaporkan meninggal dunia, pada jam 6.28 petang semalam di Hospital Putrajaya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, beliau menang di kerusi DUN Seri Setia dengan perolehan undi sebanyak 29,250.


Pengarang :