SELANGOR

Khairil sedia berdepan cabaran Himalaya kibarkan bendera Selangor dan Malaysia

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 22 OGOS: Bekas jurutera, Khairil Aslan Ab Rasid, sedia berdepan cabaran ekstrim di pergunungan Himalaya bagi mengibarkan bendera Selangor dan Jalur Gemilang di tiga puncak iaitu Gunung Stok Kangri setinggi 6,153 meter (m), Gunung CB14 (6,045 m) dan Gunung CB13 (6,264 m).

Khairil Aslan, 43, berkata cabaran yang bakal ditempuhi pada Misi Ekspedisi Solo Merdeka Anak Muda Gombak (AMG) ke Himalaya itu satu latihan sebelum beliau menjalankan misi menawan gunung tertinggi dunia, Gunung Everest dan keempat tertinggi, Gunung Lhotse secara serentak, tahun hadapan.

“Cabaran paling hebat adalah suhunya sangat ekstrim dan keduanya teknikal gunung itu sendiri. Kita tak boleh bergantung sepenuhnya kepada ramalan cuaca kerana keadaan boleh berubah, setiap saat.

“Berdasarkan pengalaman saya sebelum ini, pada awalnya cuaca diramalkan bagus tetapi bila kita mendaki berubah menjadi sangat buruk dengan cepat,” kata Ikon AMG itu.

Khairil Aslan berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bendera YAB Dato’ Menteri Besar Kepada Ikon AMG, di ruang legar Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, di sini, semalam.

Khairil Aslan berkata, pencapaian terbaik beliau sebelum ini pendakian tiga puncak dengan ketinggian keseluruhannya lebih 20,000 meter juga di Himalaya, pada tahun 2015.

Katanya, pada ekspedisi itu beliau terpaksa mengharungi cuaca sejuk ekstrim pada paras -25 darjah celcius dengan kelajuan angin antara 90 hingga 120 kilometer sejam.

Sementara itu, pada tahun ini beliau juga berjaya menamatkan cabaran ‘Most Extreme Ice Crossing Ladakh, Himalaya’ membabitkan perjalanan sejauh 300 kilometer, selama dua minggu.

“Saya juga sudah mendaki kebanyakan gunung di Malaysia dan gunung di Asia seperti Indonesia, Filipina dan beberapa negara lain,” katanya.

Sementara itu, Penasihat AMG, Datuk Han Wang Soon berkata, usaha Khairil Aslan mampu menyuntik anak muda Malaysia untuk melakukan aktiviti yang boleh mengharumkan nama negeri dan negara.

“Cabaran seperti ini memerlukan semangat tinggi yang boleh dicontohi anak muda lain. Semoga ini memberi motivasi kepada mereka,” katanya.


Pengarang :