NASIONAL

Khidmat, kos bahan binaan dikecuali di bawah SST

PUTRAJAYA 12 OGOS : Perkhidmatan pembinaan dan kos bahan binaan akan dikecualikan daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, di bawah rejim GST, bahan asas seperti batu-bata, simen, pasir dan lain-lain bahan pembinaan dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus.

“Di samping itu, perkhidmatan pembinaan juga turut dikenakan GST sebanyak enam peratus.

 

“Ini mengakibatkan kos pembinaan meningkat di bawah era GST termasuk kenaikan harga rumah,” katanya dalam kenyataan, hari ini

Beliau berkata, tekanan ke atas harga rumah, bangunan industri dan bangunan komersial dijangka akan diringankan dengan pemansuhan GST dan pengecualian SST.

Katanya, Kerajaan Persekutuan mengharapkan kos pembinaan akan menjadi lebih rendah susulan daripada pengecualian cukai SST ke atas bahan mentah utama dan perkhidmatan pembinaan.

“Antara contoh bahan pembinaan yang tidak dikenakan SST adalah seperti simen, pasir dan besi.

“Dengan cadangan pengecualian barang berkenaan daripada dikenakan SST dan kaedah implementasi cukai SST yang lebih baik berbanding GST, pihak pemaju dan pembeli harus mendapat faedah daripada pengurangan beban cukai ini,” katanya.

 


Pengarang :