ALAM SEKITAR & CUACASELANGOR

Kilat, guruh panjang fenomena biasa – MetMalaysia

KUALA LUMPUR 2 OGOS: Kejadian kilat dan guruh panjang pada petang Selasa lalu seperti yang ditularkan menerusi rakaman gambar serta video dalam media sosial, adalah fenomena biasa.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Alui Bahari, berkata kilat didakwa turut menyambar Menara Berkembar PETRONAS (KLCC), bukan fenomena luar biasa kerana ia lazimnya memanah objek tinggi.

“Berdasarkan pemantauan MetMalaysia, awan ribut petir kuat terbentuk di kawasan Lembah Klang bermula lewat petang hingga lewat malam pada hari kejadian itu.

“Kilat adalah sangat panas menyebabkan udara di sekitarnya mengembang dengan drastik.

“Ia menyebabkan partikel udara bergetar, sekali gus menghasilkan guruh sebaik sahaja kilat kelihatan,” katanya dalam satu kenyataan kepada NSTP, hari ini.

Alui berkata, guruh panjang adalah disebabkan gema atau pantulan bunyi itu daripada objek sekeliling seperti bangunan, terutama premis yang tinggi.

Setiap hari, katanya, MetMalaysia mengeluarkan amaran ribut petir termasuk di Kuala Lumpur dan daerah di Selangor pada jam 6.40 petang, 8.10 malam serta 11.05 malam.

“Semua maklumat mengenai amaran berkenaan boleh diperoleh dalam laman web, aplikasi MyCuaca atau media sosial rasmi MetMalaysia yang dimuat naik setiap hari,” katanya.

Hingga jam 2 petang tadi, ribut petir dijangka berlaku di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Johor (Tangkak), Perak (Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Mualim), serta Pahang (Cameron Highlands, Lipis, Raub, Bentong dan Temerloh).

Segelintir netizen mendakwa kejadian guruh kuat dan panjang di beberapa kawasan di Kuala Lumpur serta Selangor yang ditularkan melalui media sosial sejak Selasa lalu, berlaku tanpa henti selama 20 minit.

Fenomena itu dikatakan berlaku di sepanjang kawasan Cyberjaya hingga Puchong antara jam 7 hingga 7.30 malam, selain kilat.

Susulan itu, beberapa netizen berkongsi rakaman gambar dan video kejadian berkenaan, termasuk foto kilat menyambar KLCC kira-kira jam 9 malam.

SUMBER: BH ONLINE


Pengarang :