GLOBAL

Konflik perdangangan: Pegawai AS-China bertemu

WASHINGTON: Konflik perdangangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meruncing mengheret pertemuan pegawai kedua negara itu buat pertama kali dalam tempoh dua bulan bagi mencari penyelesaian.

Bagaimanapun, tiada tanda-tanda menunjukkan perbincangan pegawai-pegawai itu menamatkan perang tarif antara kedua-dua negara.

Delegasi pegawai China dilihat memasuki Jabatan Perbendaharaan AS bagi memulakan rundingan, demikian menurut klip video pada CNBC.

Kumpulan perniagaan meluahkan harapan pertemuan dua hari itu akan dapat memulakan rundingan yang lebih serius berhubung perdagangan China dan perubahan dasar ekonomi yang dituntut Presiden AS, Donald Trump.

Trump mengancam mengenakan duti ke atas hampir semua import tahunan China ke AS yang dianggarkan bernilai AS$500 bilion, melainkan Beijing bersetuju membuat perubahan ke atas amalan harta intelek, program subsidi perindustrian dan struktur tarif.

Beijing menafikan dakwaan AS bahawa ia secara sistematik memaksa pemindahan teknologi AS secara tidak adil dan berkata ia mematuhi peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO).

Rundingan itu adalah interaksi rasmi pertama antara kedua-dua negara sejak Jun, yang mana Setiausaha Perdagangan AS, Wilbur Ross, sebelum ini gagal dalam misinya apabila China enggan membeli kacang soya dan gas asli cecair AS.

Isnin lalu, Trump dalam satu wawancara memberitahu Reuters bahawa beliau tidak meletakkan harapan tinggi daripada rundingan yang diterajui pegawai Jabatan Perbendaharaan AS, David Malpass dan Timbalan Menteri Perdagangan China, Wang Shouwen. – Reuters


Pengarang :