NASIONAL

Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara bermula 1 September

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018 (KBN 2018), bermula 1 September ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KBN 2018 menjadi wacana kepada usaha kerajaan untuk menggubal Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baharu.

Katanya, kongres itu juga bagi mengenalpasti fokus bidang pertumbuhan baru untuk diceburi bumiputera.

“Di samping itu, ia bagi menjalin kerjasama strategik pelbagai pihak dalam usaha menyokong agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

“Kongres ini juga akan memberi penekanan nilai positif, moral dan etika serta memberi fokus kepada soal pendidikan juga modal insan, pembentukan strategi selain penciptaan kekayaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga akan memberi keutamaan terhadap perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai.

“Kongres ini bermatlamat supaya hala tuju agenda ekonomi bumiputera lebih jelas dan berkesan.

“Kerajaan juga yakin usaha ini akan meletakkan keyakinan bahawa bumiputera mampu menerajui ekonomi negara dan secara langsung akan menjamin kemakmuran negara serta kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya.


Pengarang :