SELANGOR

Kongsi rezeki: KPS sumbang lima lembu korban

OLEH AFIX REDZUAN

BANTING, 24 OGOS: Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS) menyumbangkan lima ekor lembu untuk ibadah korban bersempena Program Ibadah Korban dan Singgah Mesra Perangsang Selangor di Masjid Al-Ehsan, Kampung Sungai Lang Tengah.

Disempurnakan Pengerusi KPS, YM Raja Shahreen Raja Othman, tiga daripada lima ekor lembu itu disumbangkan syarikat dan selebihnya dari kakitangan yang menyertai ibadah korban.

“Alhamdulillah, untuk tahun ini 40 kakitangan turun bersama-sama menjayakan program ini dengan 20 daripadanya turut menyertai ibadah korban menerusi sumbangan dua ekor lembu.

“Kami harap program ini akan dapat terus tahun akan datang bagi memberi peluang seluruh rakyat Selangor menerima manfaat yang KPS kongsikan bersama,” katanya.

Menurutnya, KPS menerusi inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dibawah teras Rangsangan Tanggungjawab Masyarakat Selangor (RTMS) menyediakan dana RM2.6 juta bagi 2018 termasuk sumbangan lembu bagi menjayakan Program Ibadah Korban anjuran Kerajaan Negeri.

Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Peringkat Selangor, KPS menyumbangkan 85 ekor lembu melibatkan perbelanjaan bernilai RM450,000 yang diagihkan ke masjid dan surau serata negeri.

Dianggarkan hampir 500 bungkusan daging diagihkan selepas selesai Solat Jumaat kepada penduduk setempat dan 42 asnaf fakir serta miskin.

Dalam perkembangan sama, Nazir Masjid Al-Ehsan, Ahmad Saidi mengucapkan terima kasih kepada KPS atas kesudian memilih kawasan Kampung Sungai Lang Tengah sebagai lokasi program tahun ini.

Katanya, sebanyak sembilan ekor lembu disediakan untuk ibadah korban tahun ini bagi kawasan setempat.


Pengarang :