SELANGOR

Konvensyen dilaksana demi hargai Skuad Anti Denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 OGOS: Majlis Konvensyen Skuad Anti Denggi dilaksanakan demi menghargai Pasukan Anti Denggi yang bertungkus-lumus memastikan wabak itu daripada terus menular.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, konvensyen julung kali diadakan itu bagi memberi penghargaan atas sokongan dan kerjasama Skuad Anti Denggi yang konsisten memastikan kes denggi terkawal di daerah Petaling khasnya.

“Segala aktiviti pencegahan dan kawalan denggi yang sudah dilaksanakan secara komited oleh Skuad Anti Denggi harus diberi penghargaan sewajarnya.

“Seperti sedia maklum, sejak wujudnya Skuad Anti Denggi, jumlah kes dan kematian akibat denggi pada tahun ini menunjukkan penurunan berbanding tahun lalu dan hal itu seharusnya dipuji,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Konvensyen Skuad Anti Denggi peringkat Daerah Petaling Tahun 2018 bertempat di Dewan Jubli Perak Sultan Abdul Aziz, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata, orang awam masih perlu berwaspada kerana kes denggi boleh meningkat sekiranya seseorang itu lalai dalam mengamalkan kebersihan persekitaran supaya sentiasa kekal bersih dan selamat.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah optimis Skuad Anti Denggi daerah Petaling akan terus memperkasakan kepimpinan dan jati diri mereka dengan menganjurkan aktiviti berterusan demi menangani masalah denggi.

“Segala aktiviti yang dilaksanakan oleh anda di lokaliti masing-masing seperti gotong-royong, aktiviti Cari & Musnah serta aktiviti kesedaran bahawa pentingnya menjaga persekitaran daripada sebarang ancaman dan bahaya nyamuk Aedes, amat berkesan.

“Saya seru kepada semua, marilah kita bersama memastikan kesihatan kita, keluarga dan masyarakat supaya terus terpelihara daripada dijangkiti denggi,” katanya.

Terdahulu, demam denggi masih menjadi masalah kesihatan awam utama di Malaysia secara khususnya dan daerah Petaling amnya.

Kes daftar terkumpul sehingga minggu ke-30, tahun 2018 adalah sebanyak 7,724 kes berbanding 9,954 kes dalam tempoh sama tahun 2017, ia menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 22.4 peratus.


Pengarang :