NASIONAL

KPKT tubuh jawatankuasa pantau projek PPR Lembah Subang 1

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 10 OGOS : Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan membentuk jawatankuasa bagi memantau projek pembangunan semula Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Sumbang 1 dan Badan Bertindak mewakili penduduk setiap blok diwujudkan.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, jawatankuasa itu akan dikendalikan oleh Ahli Dewan Negeri (ADN) Lembah Jaya, Haniza Talha bertujuan memantau projek pembangunan semula membabitkan 3,004 unit di lapan blok perumahan tersebut.

Beliau berkata, ia berikutan PPR Lembah Subang 1 itu tidak mempunyai jawatankuasa tersendiri sekali gus menjadi punca flat itu terbiar.

“Walaupun flat ini sudah berusia 18 tahun namun ia tua sebelum usianya dengan pengurusan kurang cekap dan tidak efisien.

“Kita cuba mencari model dan meneliti konsepnya dengan memberikan satu rumah baharu lebih selesa mengikut Dasar Perumahan Negara baharu yang akan dikeluarkan pada September,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, Zuraida berkata, kementerian komited mahu melaksanakan program jangka pendek bagi menangani permasalahan penduduk PPR itu termasuk membaiki lif, pengurusan air dan sampah serta keselamatan.

Beliau juga mahu jawatankuasa penduduk yang diwakili sekurang-kurangnya 10 anggota diwujudkan bagi memantapkan pentadbiran di kawasan perumahan itu, dalam jangka masa terdekat ini.


Pengarang :