NASIONAL

KPM tarik permit mengajar 2 guru tadika

SHAH ALAM, 14 OGOS: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menarik balik permit mengajar dua guru yang terbabit dalam kes dera murid, di sebuah tadika swasta, di Melaka yang tular di media sosial, semalam.

KPM dalam kenyataan hari ini berkata, langkah itu bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai sebarang interaksi dengan murid atau bertugas, di tadika berkenaan.

“Pihak pengusaha turut diberi amaran keras berkaitan kecuaian dalam pengoperasian mengendalikan pendidikan kepada kanak-kanak dalam kohort umur empat dan lima,” katanya memetik BERNAMA.

Kementerian itu berkata, kejadian terbabit berlaku di sebuah tadika, di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh, iaitu tadika swasta berdaftar dengan KPM.

KPM juga mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri Melaka untuk membantu pengurusan dan pengoperasian tadika semasa sesi pembelajaran berlangsung.

“KPM menyerahkan kepada Polis Diraja Malaysia untuk mengambil tindakan lanjut ke atas guru terbabit susulan laporan polis yang dibuat, pada Sabtu lalu oleh pengurus tadika berkenaan,” katanya.

Difahamkan, dua guru yang berusia 21 dan 40 tahun itu sudah ditahan polis, semalam bagi membantu siasatan, di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Video pertama yang tular di laman sosial berdurasi 2 minit 10 saat itu menunjukkan tindakan seorang guru mengangkat kanak-kanak perempuan di pusat terbabit dan meletakkannya di atas tubuh seorang kanak-kanak lelaki yang terbaring.

Sementara video kedua yang berdurasi 36 saat menunjukkan tindakan salah seorang guru terbabit menampar seorang kanak-kanak lelaki sehingga terjatuh dari kerusi.


Pengarang :