NASIONAL

KPWKM serius pastikan pengasuh miliki kelayakan KAP

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 16 OGOS: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meningkatkan inisiatif bagi memastikan lebih ramai pengasuh, di Malaysia memperoleh kelayakan minima Kursus Asuhan dan Didikan Awal PERMATA (KAP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, KPWKM sentiasa memastikan perkhidmatan yang berkualiti di Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) dikendalikan pengusaha dan pengasuh terlatih.

“Kementerian sudah melaksanakan KAP Massive Open Online Courses secara dalam talian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Universiti Pendidikan Sultan Idris Holdings Sdn Bhd yang mempunyai waktu pembelajaran fleksibel serta yuran kursus lebih murah.

“Kita juga mengiktiraf lebih banyak agensi latihan yang mengendalikan latihan pengasuhan bertauliah KAP dan memperhalusi Akta Taman Asuhan Kanak-kanak mewajibkan semua pengasuh mempunyai syarat kelayakan serta pendidikan awal kanak-kanak, termasuk pengasuh di rumah yang akan mengikuti kursus khas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Dr Noraini Ahmad pada sesi Pertanyaan Menteri, di Dewan Rakyat.

Wan Azizah berkata, seramai 16,873 pengasuh berkhidmat di TASKA yang berdaftar dengan JKM, sehingga Jun lalu dengan 13,700 daripadanya tidak memenuhi syarat minimum ekoran beberapa faktor antaranya kadar tukar ganti (turn over) yang tinggi.

Pada masa sama, katanya, seramai 5,720 orang lulus KAP, pada 2013, namun hanya 2,171 orang masih kekal dalam industri pengasuhan kanak-kanak sehingga kini.

“Satu lagi faktor adalah Peraturan 14(3) Peraturan-Peraturan TASKA 2012 memberi tempoh 12 bulan kepada pengasuh untuk melengkapkan KAP.

“Untuk makluman, industri pengasuhan adalah industri baru yang masih belum berkembang dengan sempurna.

“Dengan mengambil kira ‘turn over’ yang tinggi dalam kalangan pengasuh, Kementerian menjangkakan daripada 13,700 orang itu, kebanyakannya adalah pengasuh yang baru berkecimpung dalam industri ini,” katanya.


Pengarang :