SASTERA

Kreativiti sastera dan batasan teknologi

Oleh Arif Bazli

Penggalian hidup adalah manifestasi kehidupan, memori berbekas dalam mencorakkan identiti rumpun masyarakat dan kemanusiaan. Kehadiran teknologi menyelaras pengetahuan kehidupan dan menjangkau pandangan lebih mendalam tetapi bercirikan matlamat dan kepercayaan yang mampu mengalahkan keterbatasan daripada sudut pengendalian sesuatu kehidupan.

Teknologi bersifat menjelaskan manakala pengamalnya bertungkus-lumus bergelumang dalam wacana yang bersifat rencam. Kepelbagaian kepercayaan menerusi arus kehidupan, menawarkan dan menterjemah jalur permikiran dalam aneka implementasi dan lebih terarah mewujudkan sebuah ruang dimensi baru. Manusia pada akhirnya sedar bahawa semua harapan dan kemampuan teknologi suatu ketika, musnah belaka.

Percambahan pembangunan mesin mempunyai karakter berubah–ubah ragam keupayaanya. Teknologi baru seumpama ini menjelaskan faktor kekurangan sebelumnya dan ada akhirnya, semua manusia menyembah pembaharuan dan meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap kekuasaan sesebuah mesin.

Kebanyakan kita mudah memesrai persekitaran teknologi dek kerana keakraban bermain mimpi bersama teknologi; maklumat mudah masuk dan keluar, kadangkala bersemayam dalam kehidupan. Teknologi mutakhir mula menawarkan jutaan siri penjelajahan bahasanya, komunikasinya dan pengetahuan yang terlintas dalam sudut permikiran masyarakat moden. Kita semacam lebih memahami pergolakan alam mesin.

Kita mengorak langkah menuju fasa baru bahawa keinginan menyegerakan penyelesaian kemungkinan yang belum tampak matang; mengolahnya menjadi seakan-akan formula mantap dan terus terjun mengolah kehidupan. Mengamalkan teknologi dengan sepenuhnya dalam kehidupan membuatkan kepercayaan menjadi selari; nada inovatif dan kreatif menjadi tumpul kerana kekuatan kuasa mesin dan direktorinya sudah menakluki kita — membina zon kawalan otak, persoalan semua bergolak, akhirnya harapan untuk terus hidup menjadi absurd.

Kemajuan dan fitnah teknologi boleh ditanggapi sebagai siri peperangan baru di alam moden. Mereka memberitahu kehebatan pengalaman dan keunikan habitat teknologi yang merumuskan ketahanan melawan kelemahan manusia sebelum ini tanpa pengawasan teknologi. Bidang kesusasteraan turut merasai kesan gelombang teknologi. Kewujudan percetakan elektronik secara besar-besaran, sumber teknologi dan kepakaran yang memperbanyak khazanah pengetahuan tanpa mempedulikan konsep keasliannya.

Percetakan tradisional, tulisan manual semakin mengecil, dan, generasi baharu kebanyakan tidak merasai kewujudannya. Lanskap dan struktur kesusasteraan berubah dengan begitu cepat, tanpa ruang kegiatan menterjemah dan menyalin kembali krisis bangsa yang kebanyakannya masih bersifat manual dan jarang diperhatikan generasi baru.

Suatu terma, cloud computing muncul dalam kemeriahan masyarakat berpesta teknologi. Definisi sebegini turut melanda keresahan dunia kesusasteraan, keselamatan data akan terus dipertikai selagi kewujudan terma ini memimpin kehidupan sekarang. Konsep ini mendedahkan kepada penggunaan teknologi secara maksimum — pengguna teknologi, kita — bukan lagi pencipta ruang teknologi sendiri; semua input – output dapat dibaca teknologi pusat. Survival pengamal teknologi akan semakin sukar, kehilangan pekerjaan kerana kewujudan persekitaran sebegini bakal mengurangkan tenaga kerja manusia. Akhirnya, pengamal teknologi lapangan kesusasteraan merasai perubahan dan keperluan manusia tidak lagi bermakna dalam persekitaran baru ini. Ketiadaan manusia dan infrastruktur fizikal akan mengurangkan lagi kepercayaan manusia bergantung kepada dunia realiti. Kita semua menerima kehidupan dalam ketebalan imaginasi dan mitos.

Perpustakaan sastera sudah diwujudkan dalam implementasi maya tanpa memerlukan kos tinggi untuk menyelesaikan keperluan tenaga kerja. Teknologi boleh bekerja berseorangan untuk menyelesaikan permintaan penggunannya. Keseluruhan koleksi bacaan daripada pelbagai bahasa dan versi disimpan dalam pustaka maya untuk menjadi rujukan dunia. Kita terus tertanya-tanya, ke manakah hak cipta dan sumber asli dipertahankan sedangkan sumber pendapatan penulis semakin terjejas.

Kewujudan teknologi daripada sudut pandangan sebelah lain bermakna positif, namun eksperimennya masih mentah keputusannya. Ambil contoh, kedudukan kesusasteraan dalam arena teknologi masih belum kukuh dasar perlaksanaannya. Kita harus belajar mengenali habitat mesin dan mewujudkan piawaian baru untuk menjadi masa depan keselamatan dunia kesusasteraan. Kesibukan trafik dan data bakal kita rasai sedikit masa lag. Sudah pasti kita memerlukan kawalan dan khidmat pengamal teknologi yang masih merindukan kemanusiaan.

Sebenarnya, kesusasteraan boleh diterapkan dalam infrastruktur teknologi dan menggunakannya secara optimum teknologi untuk memasarkan kebijaksanaan sastera dengan menggunakan rawatan teknologi yang dibawa pengamal teknologi tempatan. Kita mungkin bangsa yang muda dalam mengamalkan ibadah teknologi. Namun, teknologi masih positif menawarkan storan ruang yang besar untuk kita menyimpan pelbagai data sastera dan keselamatan lebih terjamin sekiranya terma baru di perluaskan ke pentas tempatan.

Kita amat mengakui, ragu dalam soal keselamatan penyimpanan data secara elektronik; dunia teknologi sependapat sedemikian,. Kewujudan terma baru bakal mengguatkan kecenderungan terhadap soal keselamatan data, lambakan buku percetakan elektronik akan diperkemaskan dan dirapikan kandungannya dan disimpan dalam sebuah ruang yang selamat berdasarkan kekebalan infastruktur teknologi yang terbaru sedang ditawarkan kepada masyarakat pengguna.

Kita sedang akur bahawa permusuhan sastera terhadap teknologi tidak harus berpanjangan kerana kita kekurangan pelapis masa depan. Berbicara tentang teknologi sastera, lebih enak rasanya mencipta suatu ruang dan pengalaman bermakna dalam kehidupan yang tidak menentukan pandangan sekarang.

Kesusasteraan Melayu pada akhirnya mengalami transisi teknologi secara besar-besaran dengan kewujudan pelbagai platform seumpamanya cendawan tumbuh selepas hujan. Mungkin fungsi dan keupayaan harus dinilai dan digariskan semula untuk manfaat pengguna kesusasteraan, bukan sekadar tertumpu pada aspek pembangunan habitat karya tetapi turut cenderung memikirkan elemen teknologi yang boleh menggerakkan kesusasteraan untuk terus dirasai dalam zaman digital pada hari ini.


Pengarang :